Pemuda Keningau terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja

KOTA KINABALU - Seorang pemuda dari Keningau menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Mangsa yang berusia 25 tahun itu pada mulanya dipercayai terpedaya dengan pujukan dua rakan untuk bekerja di Singapura, namun selepas hampir sebulan, dia akhirnya memaklumkan kepada keluarga bahawa kini berada di Kemboja
Menurut ibu mentuanya yang enggan dikenali, menantunya itu sebelum ini hanya memberitahu bahawa dia mahu ke Singapura untuk bekerja sebagai tukang masak.
"Dia berlepas ke Singapura pada 5 Mac lalu dan sejak itu kami berhubung dengannya. Namun, dia tidak pernah memberitahu lokasi sebenar keberadaannya.
"Pada 22 Mac lalu, barulah kami dapat mengesahkan bahawa dia tidak berada di Singapura, sebaliknya di Kemboja. Susulan itu, kami segera membuat laporan polis," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Menurutnya, keluarga percaya mangsa telah diculik dan dikurung di dalam sebuah bilik di negara tersebut.
"Dia ada memberitahu bahawa dia diminta melakukan kerja berkaitan komputer, tetapi kerana dia tidak tahu melakukannya, dia tidak dibenarkan tidur dan makan," katanya.
Ibu mentua mangsa turut memaklumkan bahawa mangsa meminta keluarga menyediakan wang sebanyak AS$7,000 (kira-kira RM31,000) sebagai pampasan kontrak supaya dia dapat pulang ke Sabah.
"Kami dapat berkomunikasi melalui WhatsApp dan panggilan video, tetapi cara mesej yang diterima agak mencurigakan. Saya percaya individu yang menghantar mesej itu bukan menantu saya, tetapi orang lain.
"Dalam mesej itu, dia meminta kami segera menyediakan wang tersebut. Namun, semasa panggilan video dibuat, saya perasan matanya sering bergerak ke kiri dan kanan, seolah-olah memberi isyarat bahawa perbualan mereka diawasi," katanya.
Sementara itu, isteri mangsa yang berusia 21 tahun berharap suaminya dapat pulang segera, lebih-lebih lagi mereka baru sahaja menyambut kelahiran anak sulung berusia tiga bulan.
"Semasa berhubung, saya cuba minta dia berikan lokasinya dan dia memaklumkan bahawa dia berada di sebuah bilik di bangunan tingkat tujuh.
"Saya juga minta dia cuba bekerja di sana buat sementara waktu supaya lebih mudah untuk dia diselamatkan," katanya.
Susulan kejadian itu, keluarga mangsa kini mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk mengetengahkan kes tersebut kepada pihak berkaitan.
Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, sindiket itu mengugut mangsa akan diseksa dan dijual kepada sindiket lain jika keluarga gagal membayar wang tebusan.
Bagaimanapun, pihaknya percaya bahawa walaupun bayaran dibuat, mangsa tetap berisiko dijual kepada pihak lain.
"Kami berharap Wisma Putra dapat bertindak segera dengan menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Kemboja bagi melancarkan misi menyelamatkan mangsa.
"Kami di MHO juga berkolaborasi dengan pelbagai agensi bagi memastikan misi ini dapat dijalankan dengan segera. Kami harap suara ini didengar oleh pihak kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!