Mabuk tak pulang rumah berhari-hari, tidur di rumah jiran punca perceraian

Jumain ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kesejahteraan Belia Mental, Fizikal dan Rohani serta Kursus Perdana Pra-Perkahwinan Islam di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
Jumain ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kesejahteraan Belia Mental, Fizikal dan Rohani serta Kursus Perdana Pra-Perkahwinan Islam di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Tidak pulang ke rumah selama beberapa hari dan ditemui tidur di rumah jiran akibat mabuk dikenal pasti sebagai antara punca utama perceraian dalam kalangan pasangan muda di Sabah.

Perkara itu dikongsikan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Jumain Abdul Ghani berkaitan punca perceraian termasuk bagi pasangan bukan Islam di negeri ini.

Menurut beliau, hasil pembacaannya di laman sesawang mendapati ada 17 punca utama yang boleh mencetuskan perceraian dalam kalangan suami isteri.

"Dalam 17 itu, antara faktor penyumbang kepada perceraian termasuk penyalahgunaan bahan seperti alkohol atau dadah di mana boleh menyebabkan ketagihan dan akhirnya menyebabkan perubahan personaliti, kehilangan pekerjaan, masalah kewangan, dan keganasan rumahtangga.

"Kami banyak juga berpengalaman menangani isu perceraian muda mudi yang berpunca daripada mabuk. Tidak pulang ke rumah berhari-hari, bila dicari rupanya di rumah jiran dan ini berlaku terutama ketika sambutan perayaan besar-besar," katanya sambil merujuk kepada pasangan bukan Islam di Sabah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas lanjut ucapannya semasa Seminar Kesejahteraan Belia Mental, Fizikal dan Rohani serta Kursus Perdana Pra-Perkahwinan Islam, yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di Wisma Muis, di sini pada Selasa.

Tambahnya lagi, isu kewangan turut menjadi antara penyebab utama perceraian, melibatkan pasangan sama ada Islam atau bukan Islam di negeri ini.

"Masalah kewangan yang tidak stabil dan akhirnya semakin membesar juga antara punca perceraian yang paling menonjol.

Artikel Berkaitan:

"Ditambah dengan masalah ilmu (kurang pengetahuan), masalah persediaan, masalah mengenai tiada kesefahaman tetapi itu semua bermula dari masalah kewangan yang berkembang," katanya.

Datuk Jumain turut mendedahkan terdapat pasangan yang bercerai sebelum usia perkahwinan mereka mencecah setahun.

"Mereka ini bercerai di Mahkamah Anak Negeri (MAN), masih muda, sekitar usia 25 ke 40 tahun.

"Malah ada yang baru enam bulan berkahwin, bila ada masalah mereka bercerai di MAN," kongsinya menerusi pengalaman ketika menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan muda, terutamanya yang baru mendirikan rumahtangga, agar mengambil iktibar daripada kisah tersebut, termasuk mempersiapkan diri dengan ilmu rumah tangga seperti mengikuti kursus pra-perkahwinan bagi pasangan Islam.

"Kalaupun kewangan tidak pun kukuh, tapi dia berusaha untuk cukupkan dirinya, selain rajin, tidak malas dan sebagainya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!