Nahas bas UUM: Keluarga pertimbang tindakan undang-undang

SEGAMAT - Keluarga kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, yang maut dilanggar bas di kampus universiti tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.
Bapa mangsa, Mohamad Karim Sulaiman, 51, berkata, mereka menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada siasatan yang sedang dijalankan pihak universiti dan polis.
“Setakat ini, pihak UUM ada siasatan dalaman yang bersangkut paut dengan siasatan polis. Apa-apa keputusan kami akan buat selepas laporan penuh diterima.
“Jika perlu, insya-ALLAH kami akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Allahyarham Manarina Hasya di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis, di sini, pada Ahad malam.
Sebelum ini, jenazah pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu selamat dikebumikan sekitar jam 11.45 malam, dihadiri saudara-mara serta penduduk kampung yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Dalam suasana pilu itu, Mohamad Karim berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian anak sulung daripada empat beradik itu, malah menyifatkan Allahyarham sebagai syahid akhirat kerana meninggal dunia ketika menuntut ilmu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada pihak pengurusan UUM dan ahli kariah kampung yang banyak membantu memudahkan urusan jenazah anak saya. Saya reda dengan ketentuan ini.
“Dia pergi dalam keadaan sedang menuntut ilmu. Itu kemuliaan yang ALLAH kurniakan kepadanya,” katanya.
Mohamad Karim berkata, pemergian Manarina Hasya merupakan kehilangan besar buat keluarga kerana Allahyarham menjadi harapan untuk membawa pulang segulung ijazah.
Bagaimanapun ujarnya, hasrat tersebut tidak kesampaian setelah takdir ALLAH menentukan segalanya.
“Tiada siapa mahukan kejadian sebegini berlaku tapi saya reda kerana saya yakin perancangan ALLAH itu lebih baik daripada perancangan kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!