Jenazah pelajar UUM maut dilanggar bas selamat dikebumi

SEGAMAT - Jenazah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhammad Karim, yang maut selepas dilanggar bas di kampus induk Sintok, Kedah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis, malam Ahad.
Allahyarham yang juga pelajar semester keempat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu disemadikan kira-kira jam 11.40 malam, dalam suasana pilu yang menyelubungi pekarangan tanah perkuburan.
Perjalanan terakhir anak sulung daripada empat beradik itu diiringi ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah sebelum itu dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, sekitar jam 1.15 tengah hari, sebelum tiba di Masjid Jamek Nur Hidayah, Felda Chempelak kira-kira jam 11 malam, menggunakan van jenazah Pusat Islam UUM.
Mangsa sebelum ini dilaporkan parah selepas dirempuh sebuah bas ketika sedang beratur di perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok, pada jam 8.45 pagi, Sabtu lalu.
Beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB kira-kira jam 6.30 petang hari sama.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, hasil bedah siasat selama dua jam di Jabatan Forensik HSB mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!