Nahas bas UUM: Mangsa alami kecederaan jantung akibat hentakan

Laporan Sinar Harian berhubung insiden pelajar UUM maut dilanggar bas kampus
Laporan Sinar Harian berhubung insiden pelajar UUM maut dilanggar bas kampus
A
A
A

JITRA – Punca kematian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terlibat dalam kemalangan dua buah bas pada pagi Sabtu disebabkan kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat selama dua jam ke atas Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pagi Ahad.

"Kematian berpunca daripada 'cardiac contusion due to vehicular impact' yang bermaksud kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.

"'Cardiac contusion' ialah kecederaan pada otot jantung yang disebabkan hentakan kuat, lazimnya akibat trauma dada tumpul seperti kemalangan jalan raya.

"'Vehicular impact' pula merujuk kepada pelanggaran atau hentakan melibatkan kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Radzi turut mengesahkan dua pemandu bas terlibat telah dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu bas di belakang mengaku tidak menyedari bas di hadapan telah berhenti sebelum pelanggaran berlaku.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar UUM terlibat dalam insiden kira-kira jam 8.45 pagi, dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di HSB.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Datuk Mohd Foad Sakdan memaklumkan bahawa pihak universiti akan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga mangsa.

Jelasnya, empat bantuan akan dihulurkan UUM antaranya pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum), bantuan khairat kematian pelajar RM1,500, sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta bantuan urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.

Jenazah Manarina Hasya dibawa keluar pada jam 1.15 petang, Ahad, menggunakan van Pusat Islam UUM dan diiringi enam buah kereta universiti untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Chemplak, Labis, Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!