UUM bantu urus jenazah pelajar dilanggar bas sehingga dikebumikan

Manarina Hasya maut dalam kemalangan melibatkan dua bas pada Sabtu.
Manarina Hasya maut dalam kemalangan melibatkan dua bas pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membantu menguruskan jenazah Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, pelajar yang maut dalam kemalangan melibatkan dua bas pada Sabtu sehingga ke proses pengebumiannya.

Naib Canselor UUM, Datuk Mohd Foad Sakdan berkata, pihak universiti akan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, jenazah Allahyarham menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pagi Ahad.

Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada pagi Ahad.
Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada pagi Ahad.

"UUM akan bantu uruskan jenazah termasuk penghantaran jenazah menggunakan van jenazah UUM untuk proses pengebumian," katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, empat bantuan akan dihulurkan UUM antaranya pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum), bantuan khairat kematian pelajar RM1,500, sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta bantuan urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.

Jelas beliau, UUM menyerahkan siasatan kepada pihak polis selain memberikan kerjasama penuh dan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap siasatan kemalangan.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Chemplak, Labis, Johor untuk dikebumikan.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, media melaporkan seorang pelajar UUM maut selepas dilanggar sebuah bas kampus dalam kejadian tragis yang berlaku di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di HSB.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 8.45 pagi dan melibatkan dua buah bas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!