KPT zahir dukacita pelajar UUM maut kemalangan
Pihak UUM juga telah mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu keluarga Allahyarham - Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhamad Karim,22, yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di perhentian Jalan Persiaran Perdana, UUM, Sintok.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian ini.
“KPT menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ini dan berdoa agar roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut mengenai insiden tersebut sedang dijalankan dan laporan penuh akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai.
"Pihak UUM juga telah mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu keluarga Allahyarham," tambahnya.
Pada Sabtu, media melaporkan dalam kejadian pukul 8.45 pagi, mangsa dilaporkan sedang melangkah masuk ke dalam bas sebelum insiden berlaku.
Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!