Dua beradik maut dipercayai langgar lampu isyarat

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] - Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 9.50 malam ketika mangsa, penunggang lelaki berusia 15 tahun dan kakaknya yang berusia 20 tahun dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau.
Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai telah membelok ke arah kanan dengan mengabaikan lampu isyarat merah ketika itu.

"Pada masa sama, sebuah Toyota Estima dipandu lelaki berumur 40 tahun yang sedang bergerak terus kerana lampu isyarat hijau tidak sempat mengelak dan terlanggar sebelah kanan motosikal itu sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng berkenaan tercampak ke laluan bertentangan.
"Akibat daripada pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Sohaimi berkata, penunggang motosikal terbabit tidak mempunyai lesen dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, menurut Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan, beliau mendapat tahu kejadian yang mengorbankan Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan Ammar Saifullah Zaibur, 15, itu pada jam 8 malam.
"Mengikut maklumat yang diterima, adik-beradik itu dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang penduduk di felda berkenaan.
"Saya difahamkan, pemandu kereta itu dalam perjalanan dari felda ini ke Ulu Tiram ketika kejadian berlaku," katanya.
Jenazah adik-beradik berkenaan kini berada di Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi urusan bedah siasat.
Sementara itu Ab Jalil berkata, jenazah dua beradik berkenaan dijangka dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau, sebelum atau selepas waktu Zohor, pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!