AGC kembalikan kertas siasatan insiden MB Negeri Sembilan kepada PDRM

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan berkaitan insiden membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut pada Selasa.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM pada 30 Oktober lalu berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan dakwaan Ismail bahawa beliau menandatangani proklamasi berkaitan pertukaran kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah pengaruh tidak wajar.
"Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
"Oleh yang demikian, kertas siasatan akan dikembalikan semula kepada PDRM pada hari ini untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan AGC menegaskan tiada kelewatan di pihaknya dalam meneliti Kertas Enkuiri Polis (KEP) atau kertas siasatan berhubung laporan berkaitan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, KEP berkenaan dirujuk kepada AGC pada 29 September lalu sebelum diminit keluar kepada PDRM pada 7 Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

