Penunggang maut, dua parah disyaki langgar lampu merah

KLANG – Tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah membawa padah apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Raja Uda, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan tiga buah motosikal.
“Kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Axia sedang membelok ke kanan menuju Jalan Kim Chuan selepas lampu isyarat bertukar hijau.
“Semasa berada di persimpangan, kenderaan itu telah dirempuh oleh tiga penunggang motosikal dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Klang yang tidak berhenti walaupun lampu isyarat menunjukkan warna merah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Akibat pelanggaran tersebut, seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Dua lagi penunggang, iaitu seorang operator kilang berusia 22 tahun dan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Pemandu Perodua Axia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Ramli, ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit disyaki terlibat dalam aktiviti samseng jalanan ketika kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairulnizam Abdul Talib di talian 010-2452144 bagi membantu siasatan.
Ramli turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak, terutama remaja, bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti berbahaya yang boleh mengancam nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya serta sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!