Dua beradik maut dirempuh MPV selepas beraya di rumah bapa

JOHOR BAHRU – Dua beradik maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika pulang beraya dari rumah bapa mereka yang terletak di Bandar Ulu Tiram, malam Ahad.
Ibu mangsa, Asilah Minhat, 38, berkata, ketika kejadian sekitar jam 8.45 malam itu, beliau berada di rumah dan hanya mengetahui mengenai kemalangan tersebut selepas dihubungi rakan anaknya.
"Saya dapat panggilan kira-kira jam 9 malam dan memang terkejut dengan berita berkenaan. Saya reda dengan pemergian mereka berdua...sudah puas menangis, benda nak jadi dan telah terjadi.
"Mereka merupakan anak sulung dan kedua daripada empat adik-beradik. Sebelum kejadian, tiada sebarang perubahan sikap...sama sahaja," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail di sini, pada Isnin.

Asilah yang juga ibu tunggal memaklumkan, jenazah Ammar Saifullah Zaibur, 15, dan kakaknya, Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, akan dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau, sebelum atau selepas waktu zuhur.
Kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan mengiringi perjalanan terakhir dua beradik itu mencetuskan suasana sayu di ruang menunggu Jabatan Forensik HSI, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang dinaiki mangsa melanggar lampu merah.
Menurutnya, nahas tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang Ammar Saifullah dan dibonceng kakaknya, Nuraisyah Amalin.
"Siasatan awal mendapati motosikal tersebut datang dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau sebelum dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan lampu isyarat merah.
"Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat menunjukkan hijau.

"Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan hingga kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

