Kerajaan perlu telus, adil cari penyelesaian terbaik isu Menara KL - Muhyiddin

Kerajaan perlu telus dan adil dalam proses pemberian konsesi kepada operator baharu Menara KL - Gambar hiasan
Kerajaan perlu telus dan adil dalam proses pemberian konsesi kepada operator baharu Menara KL - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu telus dan adil dalam proses pemberian konsesi kepada operator baharu Menara Kuala Lumpur (Menara KL), kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan tidak boleh dilihat berat sebelah atau menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat.

Menurut beliau, hukum rimba tidak seharusnya dijadikan amalan serta norma dalam pentadbiran negara.

“Insiden pengusiran paksa ini menggoncang asas Malaysia sebagai sebuah negara hukum. Adalah tidak wajar kerajaan mengenepikan sebuah syarikat bumiputera yang telah mengurus Menara KL selama bertahun-tahun dengan rekod yang baik.

“Pada masa sama, syarikat tersebut turut terpaksa menanggung liabiliti melebihi RM300 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Kerajaan Madani melalui Kementerian Komunikasi yang mengarahkan Menara KL ditutup sementara waktu demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Tindakan itu diambil susulan keengganan operator lama Menara KL, iaitu Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd, mengosongkan bangunan selepas tempoh konsesi tamat pada 31 Mac lalu.

Justeru, Muhyiddin berharap sebarang kepincangan melibatkan pengurusan aset strategik negara dapat diperbetulkan segera.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan tindakan kerajaan menggunakan polis dan agensi penguat kuasa lain untuk mengusir operator lama pada 16 April lalu sebagai sesuatu yang mengejutkan serta melampaui norma pentadbiran sebuah negara hukum.

“Saya difahamkan pertikaian berhubung konsesi ini masih dalam proses pengadilan di mahkamah. Maka, tindakan rampasan secara paksa amat memeranjatkan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!