Banjir kilat berulang, kerajaan Selangor panggil mesyuarat khas esok

Laporan Sinar Harian berhubung desakan penduduk mengenai isu banjir kilat di Shah Alam
Laporan Sinar Harian berhubung desakan penduduk mengenai isu banjir kilat di Shah Alam
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat koordinasi khas pada Isnin bagi menangani isu banjir kilat yang semakin membimbangkan penduduk di beberapa kawasan, termasuk Taman Melawis (Klang) dan Taman Sri Muda (Shah Alam).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Saifuddin Shafi dan disertai pihak berkaitan seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat hujan lebat yang memberi impak besar kepada penduduk terutama di Taman Melawis dan Taman Sri Muda.

“Pejabat saya turut menerima aduan dan keresahan penduduk yang kecewa kerana projek Rancangan Tebatan Banjir dilihat masih belum disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Amirudin, beliau telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim untuk segera menyelesaikan sebarang isu yang menghalang kelancaran pelaksanaan projek tebatan banjir di semua peringkat, tempatan, negeri dan persekutuan.

“Penyelesaian jangka panjang perlu disegerakan. Kita tidak mahu peristiwa banjir besar Disember 2021 berulang. Episod ngeri itu masih terlekat dalam ingatan rakyat Selangor,” tegasnya.

Terdahulu, penduduk di Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan mendesak agar wakil kerajaan negeri turun padang sebelum jam 12 tengah hari Ahad untuk memberi penjelasan dan penyelesaian isu banjir kilat di kawasan mereka.

Wakil penduduk, Umagandhan Krishnan berkata, jika tiada tindakan segera diambil mereka akan ke Ayer Kuning, Perak untuk menyerahkan memorandum tuntutan penyelesaian secara langsung.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!