Banjir kilat: Penduduk pergi Ayer Kuning jika MB, MP tak turun padang

Umagandhan berucap dalam perhimpunan aman di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Ahad.
Umagandhan berucap dalam perhimpunan aman di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di Taman Sri Muda, Bukit Kemuning dan Batu Lapan di sini mendesak agar kerajaan Selangor atau wakil rakyat segera turun padang sebelum jam 12 tengah hari pada Ahad bagi memberi jalan penyelesaian mengenai isu banjir kilat di kawasan tersebut.

Wakilnya, Umagandhan Krishnan berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, penduduk akan pergi ke Ayer Kuning, Perak untuk menghantar memorandum penyelesaian isu terbabit.

“Kalau Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak datang Sri Muda hari ini (Ahad), kita tahu di mana mereka... Ayer Kuning.

“Tidak apa, jam 12 kita gerak pergi Ayer Kuning... habis cerita. Saya tiada agenda politik, tujuan kita untuk hantar memorandum dan minta mereka selesaikan segera isu ini.

“Dari 2021 hingga kini, sudah empat tahun mereka hanya berikan alasan... kita tidak mahu dengar alasan,” katanya ketika memberi ucapan dalam perhimpunan aman penduduk di Taman Sri Muda di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Umagandhan berkata, terdapat tiga tuntutan kepada kerajaan negeri dan pusat serta pihak berkuasa menerusi memorandum tersebut.

"Pertama, penduduk terbabit menggesa agar kerajaan dapat memberikan penyelesaian muktamad dan kekal untuk menghentikan isu banjir di kawasan berkenaan dan bukan sekadar memberi pelbagai alasan.

“Selain itu, kami mahukan penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri serta pusat mengenai tindakan yang telah dan akan diambil selain memberikan dana bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam tuntutan ketiga pula beliau berkata, mangsa banjir di kawasan berkenaan menuntut satu ‘Town Hall Meeting’ bersama Menteri Besar Selangor dan menteri Kabinet dalam masa 14 hari bermula daripada penyerahan memorandum itu.

“Sebagai penduduk, kami kerap menjadi mangsa banjir dan tiada masa atau tenaga untuk menunggu lama supaya perkara ini diselesaikan. kami mahu penyelesaian segera dan muktamad,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!