'Saya jadi mangsa untuk dipindahkan kerusi' - ADUN Sungai Manik

Zainol Fadzi
Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengakui tidak dimaklumkan langsung oleh Perikatan Nasional (PN) Perak tentang keputusan menukar tempat duduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Beliau turut difahamkan ADUN-ADUN dari Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak dimaklumkan mengenai pertukaran tersebut.

Menurutnya, penjelasan terhadap surat yang dihantar kepada Speaker Dewan bertarikh 16 April 2025 itu perlu dibuat oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana ia menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.

"Bila timbul benda ini sebenarnya dia (Ahmad Faizal) yang perlu ambil tanggungjawab untuk perjelaskan keadaan itu, bukan saya yang kena jernihkan keadaan. Kalau isu kekananan, saya Jawatankuasa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia.

"Saya cuma jadi mangsa untuk dipindahkan kerusi. Saya difahamkan Pas pun tak tahu tentang surat itu, ADUN-ADUN Bersatu pun tak tahu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Zainol Fadzi berkata, sebagai wakil rakyat di bawah PN, beliau akur jika keputusan itu memang diputuskan oleh Jawatankuasa PN Perak.

Menurutnya, ia seperti mana pelantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi Bersatu Perak yang tidak dibantah ketua-ketua Bersatu bahagian di negeri ini.

"Sebagai seorang ahli parti saya akur dengan arahan dan ikrar taat setia saya kepada keputusan parti sekiranya ia adalah ketetapan Pimpinan Tertinggi Bersatu mahupun PN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melapor Ahmad Faizal mengakui menghantar sepucuk surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak bagi permohonan mengubah susun atur tempat duduk blok pembangkang.

Beliau berkata, ia prosedur biasa dan pernah berlaku misalnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebelum ini, pihaknya mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk meletakkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar lebih kanan daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Jelas Ahmad Faizal, memandangkan Zainol Fadzi meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak diganti dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi, perubahan tempat duduk mesti dibuat atas dasar hierarki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!