PN Perak hantar surat mengejut tukar tempat duduk Zainol Fadzi

Nadziruddin, Zainol Fadzi
Nadziruddin, Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak dilaporkan menghantar surat kepada Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menukar tempat duduk dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Difahamkan perubahan tersebut dicadangkan di antara ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Perkara tersebut disahkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan bahawa surat yang ditandatangani oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tersebut diterimanya pada 16 April ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

"Ya, pejabat saya ada menerima surat tersebut dan saya telah minta Setiausaha Dewan untuk membalasnya. Kita akan melihat pelbagai pertimbangan tentang permintaan tersebut.

"Kedudukan tempat duduk ini memang ditentukan mengikut budi bicara oleh Speaker DUN berdasarkan Perintah-Perintah Tetap 2(2) dan 2(3) Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohammad Zahir berkata, menjadi kebiasaan kedudukan ADUN di dalam DUN mengambil kira senioriti atau merit tertentu seperti tempoh berkhidmat, pengalaman sebagai exco kerajaan negeri dan kedudukan dalam parti.

Menurutnya, jika perubahan tersebut dipertimbangkan ia akan berlaku di dalam persidangan DUN Perak tempoh ini yang akan bersambung pada Isnin depan.

Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.

Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak itu juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga tahun 2022.

Sementara itu Nadziruddin yang pertama kali menjadi ADUN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini diletakkan sebaris dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perak baru-baru ini menggantikan Zainol Fadzi yang meletakkan jawatan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!