24 peniaga dikompaun sepanjang OPS Pantau, SHMMP di Terengganu

KUALA NERUS – Seramai 24 peniaga telah dikenakan kompaun sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2025 dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 di Terengganu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat, berkata tindakan itu adalah hasil pemeriksaan terhadap 3,939 premis di seluruh negeri sepanjang operasi yang berlangsung dari 2 Mac hingga 7 April lalu.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas premis-premis tumpuan termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.
“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, 20 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala empat kes lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau tamat tempoh, serta tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan,” katanya pada Majlis Apresiasi KPDN Bersama Pelanggan, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, pelaksanaan operasi tersebut berjaya memastikan para peniaga mematuhi peraturan harga sepanjang musim perayaan, sekali gus memberikan ruang kepada pengguna untuk berbelanja pada kadar yang munasabah.
Dalam masa sama, KPDN Terengganu turut mempergiat pemantauan dengan keberadaan 118 anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna serta 57 Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang.
Mohd Mufsi turut mengingatkan agar para peniaga terus mematuhi peraturan bukan hanya semasa musim perayaan, tetapi sepanjang masa selaras dengan prinsip amalan perniagaan beretika di bawah gerakan Biz-BERKAT.
“Kita mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang ramai, termasuk melalui saluran media sosial rasmi KPDN.
“Selain itu, sebarang salah laku peniaga boleh dilaporkan menerusi saluran aduan seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, aplikasi Ez ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
