AS kenakan saringan ketat media sosial ke atas pemohon visa pernah kunjungi Gaza

WASHINGTON - Rumah Putih mengarahkan saringan ke atas media sosial semua pemohon visa Amerika Syarikat (AS) yang pernah mengunjungi Gaza pada atau selepas 1 Januari 2007.
Menurut arahan sulit dalaman Jabatan Negara AS, perintah itu merupakan sebahagian daripada usaha terkini pentadbiran Presiden AS, Donald Trump untuk mengetatkan saringan pelawat asing.
Arahan berkenaan juga menyatakan semakan media sosial semua pemohon visa imigran dan bukan imigran, perlu merangkumi pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang pernah berada di wilayah Palestin atas kapasiti rasmi atau diplomatik.
“Jika hasil semakan menemui maklumat yang berpotensi memberi ancaman berkaitan isu keselamatan, maka satu Laporan Keselamatan Rasmi perlu dikemukakan,” kata arahan sulit dalaman berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan hujung bulan lalu Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyatakan negara itu sudah membatalkan lebih 300 visa.
Langkah tersebut juga diambil ketika pentadbiran Trump membatalkan ratusan visa di seluruh negara termasuk status pemastautin tetap yang sah di bawah undang-undang 1952.
Selain itu, beberapa pegawai pentadbiran presiden berkenaan turut memaklumkan, pemegang visa pelajar boleh diusir jika mereka menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengkritik tindakan Israel dalam perang ke atas Gaza.
Walaupun Perlembagaan AS menjamin kebebasan bersuara untuk semua orang di negara itu, namun terdapat beberapa kes berprofil tinggi di mana pentadbiran negara berkenaan membatalkan visa pelajar selepas mendapati mereka menyuarakan bantahan terhadap perang Israel di Gaza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

