‘Hanya fikir selamatkan bangunan sekolah’

KUALA LUMPUR - “Ketika api sedang marak, saya hanya fikir satu perkara iaitu selamatkan bangunan sekolah dan pastikan api tidak merebak.”
Itu antara kenangan yang masih terpahat di ingatan bekas Ketua Ahli Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, K Kalimuthu, 81, yang melecur di betis kiri akibat terlanggar objek panas ketika operasi memadam kebakaran di sebuah sekolah antarabangsa, di ibu kota, pada 1964.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pelajar di sekolah berkenaan dikejutkan dengan asap tebal yang menjulang tinggi dari bilik stor sekolah tersebut.
Mengimbau kembali insiden itu, Kalimuthu berkata, beliau dan rakan setugas tiba di lokasi kebakaran kira-kira tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik turun dari jentera, kami lihat api sudah marak dari tingkat bawah bangunan dua tingkat itu. Saya cuba padamkan api daripada terus merebak ke kelas berhampiran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Setapak, baru-baru ini.
Namun tanpa disangka, langkah yang diambil Kalimuthu menyebabkannya terlanggar objek panas akibat bahang api.
“Saya terasa panas. Bila angkat kaki, darah mula mengalir serta seluar terbakar, mujur kawan-kawan cepat bantu tarik saya keluar,” ujarnya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kelas yang terletak hanya beberapa meter dari stor berkenaan.
“Api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit, namun sebahagian besar stor itu musnah,” katanya.
Kata anak jati Kuala Lumpur itu, tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan, bagaimanapun beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Kalimuthu berkata, beliau mula berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 9 Januari 1964 pada usia 21 tahun.
“Kawan baik ayah yang juga ahli bomba telah memberi borang tawaran kerja, sebelum saya menghadiri temu duga.
“Saya turut membawa sijil latihan kemahiran ketika temu duga, selain menceritakan pengalaman terlibat dalam satu projek pembinaan di Taman Templer,” kongsinya.
Anak kelima daripada 11 beradik itu berkata, beliau kemudian telah dipanggil untuk menyertai latihan sebagai anggota bomba selama tiga bulan.
“Setelah tamat latihan, saya berkhidmat di BBP Jalan Hang Tuah, pada ketika itu hanya ada dua syif dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.

Kalimuthu yang sudah berkhidmat dalam pasukan bomba selama 34 tahun berkata, beliau pernah memandu jentera bomba yang kini dipamerkan di Muzium Negara.
“Bukan mudah untuk memandu jentera ini, saya juga perlu berlatih dengan seorang Pegawai Bomba Kanan dalam tempoh dua jam setiap hari untuk mendapatkan lesen,” kata Kalimuthu.
Menurutnya, jentera bomba jenis Dennis RR-80 buatan England ialah kenderaan utama perkhidmatan Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari tahun 1958 hingga 1981.
“Kenderaan itu kemudian telah diserahkan kepada Muzium Negara pada 6 Januari 1982.
“Setiap kali saya melawat Muzium Negara, pasti akan mengimbau kenangan ketika memandu dan menyelenggarakan jentera ini,” ujarnya.

Menurutnya, pada ketika itu tidak banyak balai bomba diwujudkan di sekitar ibu kota.
“Ada dua BBP yang terawal dibina di Kuala Lumpur ialah BBP Jalan Melaka dan BBP Pudu, kemudian diwujudkan BBP Jalan Hang Tuah serta beberapa lagi balai bomba lain.
“Ketika saya bekerja di BBP Bandar Tun Razak pada 1982, kawasan pemantauan dari Kuala Lumpur sehingga ke Kajang,” ujarnya.
Tragedi Highland Towers
Menurut Kalimuthu, beliau juga pernah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993.
“Ketika kejadian, saya terdengar bunyi loceng kecemasan sebanyak lima kali untuk kami bersiap siaga di BBP Bandar Tun Razak bagi mendengar taklimat berkaitan insiden itu, sebelum bergerak ke lokasi,” ujar Kalimuthu.
Tambahnya, pasukan telah ditugaskan di lokasi kejadian pada malam hari kejadian untuk mencari mangsa.
“Saya berbangga dengan rakan sepasukan yang terlibat, dan misi tersebut turut dibantu banyak pihak termasuk pasukan menyelamat dari luar negara,” ujarnya.
Dalam tragedi runtuhan itu, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers telah runtuh sehingga meragut 48 nyawa.
Bomba mengambil masa selama 12 hari untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kalimuthu berkata, selain kejadian itu, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah mencari mayat seorang wanita yang tercampak ke dalam longkang besar akibat dilanggar sebuah kereta di Jalan Tenteram, di Kuala Lumpur.
“Wanita warga tempatan itu dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat, kami kemudian melaksanakan SAR dan mayatnya dijumpai di Sungai Besi,” ujarnya.
Jangan ambil risiko
Kalimuthu berkata, pihaknya menerima banyak laporan kejadian kebakaran yang berpunca daripada aktiviti main mercun, terutamanya di kawasan perumahan.
“Aktiviti main mercun bukan sahaja mengundang risiko kebakaran, malah boleh menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak-anak bermain mercun terutamanya ketika musim perayaan.
“Sebelum ini, saya pernah melihat seorang wanita warga tempatan cedera dan pakaiannya terbakar akibat kanak-kanak bermain mercun di Cheras.
“Keceriaan hari perayaan boleh bertukar tragedi jika aspek keselamatan diabaikan, Jangan biarkan kanak-kanak bermain mercun tanpa pengawasan,” katanya.
Kalimuthu turut menyarankan agar masyarakat menyambut perayaan secara selamat dan berhemah.
“Sekiranya ingin bermain bunga api atau mercun, pastikan ia digunakan di kawasan terbuka yang jauh daripada rumah dan bahan mudah terbakar,” ujarnya.
Kalimuthu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan mengambil langkah segera yang betul sekiranya kenderaan dinaiki mereka terbakar, sama ada semasa bergerak atau ketika berhenti.
“Pemandu perlu segera memberhentikan kenderaan di lokasi selamat dan jauh daripada laluan trafik bagi mengelakkan kemalangan yang lebih buruk.
“Seterusnya, matikan enjin dan keluarkan semua penumpang dengan segera. Jangan cuba padamkan api jika ia sudah marak,” katanya.
Menurutnya, mangsa perlu menghubungi talian kecemasan 999 dan beri maklumat tepat mengenai lokasi kejadian.
“Pastikan juga alat pemadam api jenis serbuk kering disimpan di dalam kenderaan. Ia boleh digunakan pada peringkat awal kebakaran dan berupaya menyelamatkan nyawa serta harta benda,” tambahnya.
Dalam pada itu, Kalimuthu turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati kenderaan yang sedang terbakar atau cuba mengambil barangan peribadi dari dalam kenderaan yang terjejas.
Kecemasan
Tambah Kalimuthu, beliau menyokong usaha JBPM memperluaskan program melibatkan masyarakat melalui Sahabat Bomba dan Bomba Komuniti di seluruh negara dalam membantu menghadapi kes kecemasan.
“Ia mampu membantu masyarakat menghadapi kes kecemasan dengan lebih pantas dan efisien,” katanya.
Ujarnya, keselamatan kebakaran di kediaman sering kali diabaikan walaupun ia melibatkan nyawa dan harta benda.
Menurutnya, langkah pertama ialah memastikan semua peralatan elektrik diselenggara dengan baik dan tidak menggunakan ia secara berterusan.
Tegasnya, setiap kediaman wajar dilengkapkan dengan alat pengesan asap yang boleh memberi amaran awal sekiranya berlaku kebakaran.
“Selain itu, pastikan laluan keluar seperti pintu dan tingkap tidak terhalang. Pemasangan jeriji pula jenis mudah buka dari dalam rumah semasa kecemasan atau kebakaran,” ujarnya.
Katanya, setiap ahli keluarga perlu dilatih dengan pelan ‘keluar kecemasan’ dan mengetahui penggunaan alat pemadam api.
Mengulas mengenai perkembangan kemahiran dan peralatan bomba ketika ini, Kalimuthu berkongsi rasa bangga atas kepekaan kerajaan dalam memperkukuhkan peralatan serta mempertingkatkan latihan anggota bomba bagi menghadapi pelbagai cabaran.
Bangga jadi anak anggota bomba
ANAK sulung Kalimuthu iaitu K Kanna, 51, berbangga dengan tugas bapanya yang sanggup berdepan dengan risiko bahaya.
Menurut Kanna, bapanya disifatkan seorang yang penuh berdisiplin dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota badan uniform.
“Tugas anggota bomba penuh cabaran, sanggup berhadapan dengan risiko bahaya tanpa mengira masa dan keadaan.
“Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Tambah Kanna, beliau melihat anggota bomba memupuk nilai dan semangat perpaduan dalam kalangan warga balai yang berbilang kaum.
Ujarnya, semangat perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa secara tidak langsung dapat membangkitkan motivasi anggota untuk memberikan khidmat terbaik.
INFO GRAFIK
Biodata
Nama: K Kalimuthu
Status: Berkahwin
Nama Isteri: K Vijaya
Anak: 3 orang (1 lelaki dan 2 perempuan)
Cucu: Seorang
Tarikh Lahir: 24 Ogos 1943 (Kuala Lumpur)
Tarikh masuk JBPM: 9 Januari 1964.
Tarikh bersara JBPM: 24 Ogos 1998.
Tempoh perkhidmatan dalam JBPM: 34 tahun.
Balai Bomba dan Penyelamat yang pernah bertugas:
BBP Hang Tuah (1964 - 1982)
BBP Bandar Tun Razak (1982 - 1998)
Aktif dalam sukan bola sepak, sepak takraw dan badminton serta berminat dalam permainan catur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
