Sidang Kemuncak ASEAN 2025: DBKL tubuh jawatankuasa persiapkan Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kesejahteraan dan Pengindahan Bandar bagi mempersiapkan Kuala Lumpur untuk memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, persiapan itu termasuk dari segi kebersihan, keindahan, kesejahteraan bandar, lalu lintas, penguatkuasaan serta penyelenggaraan infrastruktur.
"2025 bakal menjadi tahun yang amat bermakna dan mencabar buat negara serta Kuala Lumpur. Pada 6 dan 7 Mei ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama persidangan ini.
"Sebagai bandar raya yang akan menjadi perhatian dunia, Kuala Lumpur perlu dipersiapkan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan kelancaran acara ini serta memberikan kesan positif kepada tetamu dari negara-negara ASEAN dan dunia.
"Sebagai persediaan menghadapi sidang kemuncak ini, DBKL telah diberikan tanggungjawab untuk menganggotai Jawatankuasa Kecil Kesejahteraan Awam di peringkat nasional. Lanjutan itu, DBKL telah tubuhkan jawatankuasa ini agar Kuala Lumpur benar-benar bersedia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Malam Apresiasi Media di Dewan Kuki, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, selain Sidang Kemuncak ASEAN, Kuala Lumpur juga akan menjadi tuan rumah kepada dua lagi acara besar iaitu Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) dan Asian Sustainable Urban Forum.
Menurutnya, ia dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan kerjasama Urbanice Malaysia.
"Kehadiran pemimpin bandar utama di ASEAN dalam acara ini memberikan peluang kepada Kuala Lumpur untuk mempamerkan daya saingnya sebagai bandar raya yang mampan dan inovatif.
"Justeru, saya meminta agar pihak media dapat membantu dalam membawa naratif positif mengenai Kuala Lumpur di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Keindahan landskap, kecekapan sistem pengangkutan, kemesraan warga kota serta suasana bandar yang bersih dan selesa haruslah diketengahkan agar dunia dapat melihat Kuala Lumpur sebagai destinasi yang progresif, moden dan berdaya huni," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!