'Saya hanya fikir untuk selamatkan mangsa'

Muhamad Nizam ketika membantu memberi rawatan awal kepada mangsa.
Muhamad Nizam ketika membantu memberi rawatan awal kepada mangsa.
A
A
A

SHAH ALAM – Latihan yang diterima 17 tahun lalu ternyata lebih bermakna daripada sekadar teori bagi seorang anggota tentera darat dari Kem Vortuno, Perak.

Berbekalkan ilmu yang diperoleh melalui Kursus Combat Medic pada 2007, Staf Sarjan Muhamad Nizam Samsul Anuar, 37, bertindak pantas memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan di Simpang Tiga Lahar Yooi, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Muhamad Nizam yang juga Penyelia Kenderaan Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam selepas menghadiri jamuan raya bersama keluarga di rumah pegawainya.

Jelasnya, sekitar jam 3.40 petang, jalan agak sesak dan dia terlihat kemalangan membabitkan kereta dan motosikal lalu memberhentikan kenderaannya.

“Penunggang motosikal itu seorang lelaki anggaran usia 20-an, terbaring dan berdarah di bahagian kepala.

“Saya segera mengambil beg ‘first aid’ dan memberikan rawatan awal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi enam saat yang menunjukkan seorang lelaki memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di lokasi kejadian sebelum ambulans tiba.

Tindakan pantas Muhamad Nizam mendapat perhatian warganet selepas video tersebut dikongsi di Facebook dengan kebanyakannya memberikan maklum balas positif.

Menurut Muhamad Nizam, membantu mangsa kemalangan dengan memberikan rawatan awal sudah menjadi kebiasaan baginya.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita tidak mempraktikkan apa yang dipelajari, ia akan menjadi sia-sia. Hari ini kita bantu orang, insya-Allah akan dipermudahkan urusan kita nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!