Pencerobohan tanah berlaku hampir di setiap daerah - Pas Pahang

KUANTAN – Isu pencerobohan tanah di Pahang dipercayai berlaku hampir di setiap daerah, membabitkan pelbagai sektor termasuk tanaman durian, kelapa sawit, getah dan perlombongan, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu.
Beliau mendakwa isu tersebut berlaku dalam skala berbeza mengikut kawasan dan memerlukan penyelesaian menyeluruh daripada kerajaan negeri.
“Saya rasa setiap daerah ada isu ini, sama ada kecil atau besar sahaja dan ia bukan hanya melibatkan Musang King, tetapi juga sawit, getah, lombong dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, yang berlangsung di Wisma Sri Pahang.
Dalam titah berkenaan, Sultan Pahang mendedahkan bahawa 14,494.908 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan pelbagai tanaman serta aktiviti perlombongan.
Andansura, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, menegaskan bahawa pihak pembangkang akan menggunakan ruang dalam sidang DUN untuk berbahas, mengemukakan cadangan, dan mencari penyelesaian strategik.
“Kita akan teliti beberapa alternatif atau usul untuk dikemukakan sebagai langkah penyelesaian lebih berkesan,” katanya.
Setakat ini, katanya, belum ada maklumat terperinci yang diterima berkenaan kawasan atau daerah yang paling terkesan, namun isu ini jelas melangkaui isu Musang King semata-mata.
“Kita mungkin akan tanya soalan dalam dewan nanti dan kalau boleh kita mahu dapatkan maklumat tersebut daripada kerajaan negeri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Andansura menjunjung kasih atas ketegasan Sultan Pahang dan menyifatkan titah baginda sebagai mesej tegas terhadap isu yang telah lama berlarutan.
“Kita menyokong titah Tuanku yang mahu isu ini dinoktahkan dan berharap satu penyelesaian yang tuntas serta menyeluruh dapat dilaksanakan demi kepentingan semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

