[VIDEO] Pempengaruh nafi hina Agong, dakwa jadi mangsa akaun palsu
JOHOR BAHRU - Pempengaruh media sosial, Goh Khai Seng, 40, berharap agar pihak berkuasa dapat membantu membersihkan semula namanya susulan satu hantaran di laman facebook yang menggunakan nama serta gambarnya dikesan memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, hantaran tersebut merupakan akaun palsu daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai dirinya.
Justeru katanya, laporan polis telah dibuat termasuk meminta rakan-rakannya membantu membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Saya ingin merakamkan permohonan maaf yang setulus-tulusnya kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sebagai anak Johor, saya sama sekali tidak mungkin dan tidak akan bersikap biadap terhadap institusi Diraja.
"Segala kenyataan yang menghina institusi diraja buka daripada saya, dan saya ingin menafikan sekeras-kerasnya kandungan tersebut dan saya amat kesal dan dukacita dengan apa yang telah berlaku.
"Saya tampil hari ini kerana saya adalah mangsa kepada satu serangan berniat jahat di mana baru-baru ini terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah mewujudkan akaun media sosial palsu menggunakan nama dan gambar saya dengan tujuan mengelirukan orang ramai dan mencemarkan nama baik saya," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tambah Khai Seng, kenyataan tersebut dikesan dimuat naik di laman sosial facebook dengan nama Cayson Goh yang turut didapati menggunakan nama serta gambarnya.
"Saya tegaskan bahawa akaun facebook rasmi saya mempunyai tanda semak biru bagi membuktikan ia telah disahkan oleh pihak Facebook, tetapi sebaliknya akaun palsu tersebut tidak mempunyai sebarang pengesahan dan hanya mempunyai 11 rakan; ini jelas membuktikan ia merupakan akaun palsu.
"Lagi pun, sebagai pempengaruh dalam talian, saya sedar imej saya terbuka kepada umum dan mudah di salahguna kan oleh pihak yang berniat jahat.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah netizen yang tidak menyedari situasi itu mengancam untuk datang mencari saya dan cuba mengetahui alamat dan nombor telefon saya hingga saya merasakan bahawa keselamatan hidup saya dan keluarga terancam," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, mengesahkan menerima laporan polis berhubung perkara tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!