Akmal Nasir sedia pertahan jawatan Ketua Cabang Keadilan Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Keadilan Johor Bahru dalam pemilihan parti 2025-2028.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi itu berkata, keputusan dibuat selepas mempertimbangkan cabaran dan harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap kepimpinan parti, khususnya di peringkat cabang.
“Saya teringat ketika mula-mula diberi amanah sebagai Ketua Cabang, ia satu misi yang dilihat mustahil namun akhirnya berjaya dilaksanakan. Tetapi cabaran sebenar bermula selepas kemenangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan, keperluan untuk terus fokus membina impak sebenar kepada rakyat melalui keutamaan yang tepat dan pendekatan gerak kerja yang berprinsip.
“Untuk terus relevan, kita tidak boleh bergantung kepada pendekatan kosmetik semata-mata. Kita mesti menyelesaikan masalah sebenar rakyat dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” tambah beliau.
Menurut Akmal, barisan calon kepimpinan Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Johor Bahru yang diketengahkan kali ini juga dipilih berdasarkan komitmen dan nilai perjuangan parti.
Katanya, tumpuan utama pasukan beliau adalah mempersiapkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan memastikan kemenangan di Johor Bahru kekal menjadi keutamaan.
Pada 3 April lalu, Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Keadilan Johor Bahru.
Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!