Penurunan harga tidak kurangkan beban kos

SEKINCHAN – Pesawah menyifatkan penurunan harga benih padi sah (BPS) daripada RM58 kepada RM56 bagi setiap kampit seberat 20 kilogram (kg) di peringkat runcit tidak banyak membantu mengurangkan beban kos yang mereka tanggung.
Pesawah di Kampung Tali Air 7, Sungai Leman, Abdullah Dahalan, 54, berkata, penurunan RM2 itu hanya memberi penjimatan sekitar RM20 untuk satu lot sawah berkeluasan 1.2 hektar.
“Tanah seluas tiga ekar (1.2 hektar) memerlukan antara 160 hingga 200 kilogram benih padi, bergantung kepada saiz tapak tanaman dan kedudukan rumah di kawasan bendang.
“Kalau jimat RM20 saja, ia tak banyak membantu memandangkan input pertanian lain seperti baja, racun dan upah kerja terus meningkat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Abdullah turut berharap kerajaan bukan sahaja menyemak semula harga BPS, malah memastikan benih yang dibekalkan kepada pesawah berkualiti.
“Kita mahu benih yang tahan penyakit, subur dan elak isu padi angin kerana jika benih tak berkualiti, hasil padi terjejas dan meningkatkan risiko kerugian,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Zainal Abidin Idris, 59, menyarankan agar harga benih padi diturunkan kerajaan di bawah RM40 bagi setiap 20kg kampit demi keseimbangan kos dan hasil.
“Kami minta kerajaan ambil kira situasi sebenar di lapangan dan berharap harga benih padi diturunkan untuk jamin kebajikan pesawah,” katanya.
Menurutnya, pendekatan menang-menang amat diperlukan bagi memastikan pesawah mampu bertahan dan terus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!