Harga benih padi sah diselaras peringkat borong, runcit

Harga kedua-dua peringkat itu melibatkan Semenanjung Malaysia.
Harga kedua-dua peringkat itu melibatkan Semenanjung Malaysia.
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga kawalan maksimum benih padi sah (BPS) diselaraskan daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kilogram (kg) di peringkat borong.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan memaklumkan, harga di peringkat runcit turut diselaraskan daripada RM58 kepada RM56.

Harga kedua-dua peringkat itu melibatkan Semenanjung Malaysia dan berkuat kuasa mulai Selasa.

Ujar kementerian itu, penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran serta penyelarasan harga lantai belian padi.

"Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara," katanya pada Isnin.

Tegas KPKM, semua pemborong dan peruncit BPS diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.

"Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya," ujar kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!