Ibu mengalir air mata, sebak kongsi perjuangan Syed Saddiq

Sharifah Mahani (berdiri dua dari kanan) ketika sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
Sharifah Mahani (berdiri dua dari kanan) ketika sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN- ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz tidak dapat menahan air mata ketika menyentuh soal anaknya yang berdepan dengan kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Sharifah Mahani turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh orang ramai sepanjang tempoh perbicaraan kes berlangsung.

Ujar Sharifah Mahani, kegigihan dan perjuangan Syed Saddiq dalam menegakkan prinsip kebenaran menerusi sistem kehakiman diharap dapat menjadi insipirasi kepada generasi muda yang akan datang.

"Apa yang saya ingin katakan ialah saya ucapkan terima kasih atas sokongan semua dan doa-doa yang diiringi.

"Tak dapat nak dikatakan sebagai seorang ibu dan melihat perjuangan anak saya, Syed Saddiq, saya harap ramai lagi anak muda yang akan turut serta dan bersama-sama berjuang untuk kebenaran," ujarnya sambil mengesat air mata.

Mahkamah Rayuan pada Khamis akan menetapkan tarikh lain keputusan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Syed Saddiq dan ahli keluarga tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan prosiding rayuan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Syed Saddiq dan ahli keluarga tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan prosiding rayuan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq, 33.

Semasa prosiding, Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!