Tiada keputusan rayuan Syed Saddiq hari ini

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq, 33.
Semasa prosiding, Hakim Ahmad Zaidi berkata mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh berkenaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak atas hujahan ini, namun kami memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan itu.
“Jadi, buat masa ini, kami akan tetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes terlebih dahulu,” katanya.
Dalam prosiding ini, pembelaan bagi bekas Menteri Belia dan Sukan ini dikendalikan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pendakwaan pula selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, di mana sekiranya beliau didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, jika panel hakim membenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, beliau akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!