Rayuan Syed Saddiq: Tiada wang derma digunakan untuk PRU14 – Pendakwaan

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis bahawa tiada pengeluaran wang derma digunakan bagi kempen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan menghujahkan demikian ketika prosiding hari terakhir, rayuan Syed Saddiq, 33, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Ketika hujahan di hadapan panel tiga hakim, Farah Ezlin berkata, sebelum ini, dua majlis kutipan derma itu telah dibuat, dikatakan untuk mendapatkan sokongan dan meraih dana bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Dua majlis itu ialah ‘Makan Amal Muo’ di sebuah dewan di Muar pada 7 April 2018 dan ‘Fund Battle for Johor’ di sHotel De’ Palma, Ampang pada keesokkan harinya.
Beliau berkata, kutipan daripada majlis itu mencapai jumlah RM124,815 dan ia dimasukkan ke akaun Maybank atas nama ABBE milik penolong bendahari parti ketika itu, Rafiq Hakim Razali, 35.
Menurutnya, Syed Saddiq telah mengarahkan Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) memindahkan RM120,000 ke akaun peribadi Maybank milik perayu.
“Bagaimanapun, perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini merupakan ‘pembayaran balik’ kerana telah mendahulukan wang sendiri semasa PRU14.
“Bukan itu sahaja, tiada bukti yang menunjukkan bahawa sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu bayaran balik," katanya.
Sebaliknya beliau berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan mengubah niat dengan memindahkan sebahagian wang, iaitu RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya selepas mengundi.
Menurutnya, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu telah mengeluarkan resit perbelanjaan untuk digunakan bagi PRU14, tetapi itu tidak bermakna wang tersebut berpunca daripada dananya sendiri.
“Semasa disoal balas oleh pihak responden, perayu gagal menjelaskan SP13 mahu tahu wang fundraising dipindahkan kepada akaunnya bagi tujuan pembayaran balik kerana ia merupakan suatu yang difikirkan kemudian sebagai pembelaannya.
“Perkara berkenaan hanya timbul semasa kes sedang berjalan,” katanya yang turut hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin
Sementara pembelaan bagi bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini dikendalikan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan Syed Saddiq itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq.
Semasa prosiding, Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh berkenaan.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun jika panel hakim menbenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!