[VIDEO] Peniaga 'berlakon' konon tak tahu jual barang kawalan kena ada lesen
KUALA LUMPUR - Taktik licik seorang peniaga runcit serta restoran di Brickfields yang berpura-pura tidak mengetahui keperluan memiliki lesen sah untuk menjual barang kawalan terbongkar apabila siasatan mendapati premis itu telah beroperasi lebih setahun pada Rabu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, siasatan mendapati pemilik premis menggunakan alasan kononnya mereka 'baru berniaga' bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.
"Premis ini telah beroperasi lebih setahun dan alasan tidak tahu syarat lesen adalah tidak munasabah.
"Mereka sepatutnya tahu keperluan undang-undang sebelum memulakan perniagaan,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi operasi pada Rabu.

Katanya, kedai terbabit merupakan antara lapan premis diperiksa dalam satu operasi bersepadu di bawah inisiatif "Kita Gempur" yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Operasi ini menyasarkan premis-premis yang disyaki melanggar undang-undang termasuk menjual barang kawalan tanpa permit dan manipulasi harga.
"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis menjual barang kawalan seperti minyak masak, gula, tepung dan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen sah," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati ada premis menyimpan barang kawalan dalam kuantiti melebihi had yang dibenarkan tanpa permit bertulis.
"Restoran terbabit menggunakan barang kawalan dalam jumlah besar untuk tujuan memasak dan perdagangan, namun tiada sebarang kelulusan permit dikeluarkan.
"Kita telah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], Peraturan 3(1) dan Peraturan 18 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana urus niaga dan penyimpanan barang kawalan tanpa lesen atau permit bertulis," jelas beliau.

Tambahnya, susulan itu, tindakan penyitaan dilakukan melibatkan barang kawalan seperti LPG, minyak masak, gula, tepung serta beberapa dokumen berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,500.
"Siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shahran berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun bernilai RM3,300 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] serta Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71].
"Kesalahan terbabit termasuk tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan," katanya.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan tujuh notis kompaun serta empat notis penutupan premis atas pelbagai pelanggaran peraturan pihak berkuasa tempatan.
Mohd Shahran menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan untuk mengaut keuntungan mudah.
"Kita akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan dalam pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

