'Saya ada lesen, Lamborghini pun tak disita'

Pembantu Ahli Parlimen Kepong, Dic Lai (kiri) dan Deng Sheng bersama kereta Lamborghini. Foto Deng Sheng
Pembantu Ahli Parlimen Kepong, Dic Lai (kiri) dan Deng Sheng bersama kereta Lamborghini. Foto Deng Sheng
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya tak ditahan pun. Saya ada lesen memandu, Lamborghini juga tidak disita."

Itu penjelasan Deng Sheng, 28, lelaki warga China yang memandu kereta mewah berkenaan susulan laporan berita mengenai penahanannya dan kenderaannya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsa, Kuala Lumpur.

Deng Sheng juga menegaskan bahawa mempunyai lesen memandu antarabangsa yang sah, namun ketika melalui sekatan berkenaan, dia tidak dapat mengemukakan lesen tersebut.

"Saya ingin memberi respons terhadap berita palsu yang tular semalam yang dikongsi oleh beberapa media dan di media sosial.

"Mereka mengatakan saya telah ditahan dan bahawa kereta Lamborghini saya telah disita oleh JPJ kerana saya tidak mempunyai lesen memandu. Ini tidak benar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, dia telah menerangkan mengenai lesen memandu antarabangsanya kepada pegawai JPJ terlibat dan mereka bersikap mesra serta profesional sepanjang masa.

"Saya dikenakan saman kerana tidak membawa permit tersebut dan selepas itu saya dibenarkan untuk meneruskan perjalanan. Saya tidak pernah ditahan dan kereta saya tidak disita.

"Malangnya, berita palsu ini telah menimbulkan banyak masalah kepada saya. Ia telah menjejaskan reputasi, perniagaan dan kehidupan peribadi saya.

"Ramai orang menghubungi saya tanpa henti untuk bertanyakan tentang perkara ini. Beberapa media juga secara salah menggelarkan saya sebagai 'influencer' media sosial, sedangkan saya bukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Deng Sheng turut menegaskan bahawa dia dilayan dengan adil oleh pegawai JPJ, namun media dan pihak lain yang menyebarkan maklumat tidak benar telah menyebabkannya tertekan dan nama baiknya tercalar.

"Oleh itu, saya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan nama dan reputasi saya.

"Tolong hentikan penyebaran berita palsu. Marilah kita menghormati kebenaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!