Jeritan senyap generasi muda hidap masalah mental

Lebih 400,000 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan, dan stres yang melampau. Foto hiasan 123RF
Lebih 400,000 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan, dan stres yang melampau. Foto hiasan 123RF
A
A
A

DI sebalik gelak tawa di TikTok, hantaran estetik di Instagram dan kisah kejayaan di Facebook, terselit satu hakikat yang membimbangkan; generasi muda hari ini sedang bergelut dengan kesihatan mental yang makin meruncing dan makin membimbangkan.

Tekanan dari pelbagai arah - akademik, ekonomi, dan sosial menjadikan kehidupan mereka jauh lebih mencabar berbanding generasi terdahulu.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan, dua daripada lima belia Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Lebih merisaukan, lebih 400,000 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami simptom kemurungan, kebimbangan, dan stres yang melampau.

Tekanan akademik bukan perkara baharu. Namun, dalam era persaingan sengit dan budaya ‘siapa paling berjaya di media sosial’, ramai belia terperangkap dalam perlumbaan yang tak berpenghujung.

Di media sosial, kehidupan orang lain nampak sempurna, membuatkan ramai rasa hidup sendiri gagal, sedangkan yang ditayang kadangkala hanya lakonan dan bukannya realiti.

Bagi belia, cabaran hari ini bukan sekadar nak lulus peperiksaan atau cari kerja tetap. Mereka juga dihimpit beban ekspektasi keluarga, tekanan rakan sebaya dan suasana media sosial yang toksik.

Semuanya boleh jadi pencetus kepada masalah kesihatan mental. Setiap ‘like’ dan ‘view’ kadang-kadang lebih menekan daripada markah ujian.

Artikel Berkaitan:

Masalahnya, akses kepada rawatan dan sokongan psikologi masih belum menyeluruh. Ramai belia tak tahu ke mana nak mengadu atau lebih menyedihkan, takut dipandang serong bila minta bantuan.

Budaya ‘malu kalau pergi jumpa kaunselor’ masih kuat, walaupun statistik kes kemurungan dan bunuh diri makin meningkat.

Kerajaan, NGO dan komuniti perlu mainkan peranan lebih agresif, bukan sekadar buka pusat kaunseling, tapi juga promosi secara aktif tentang kepentingan kesihatan mental.

Kita juga perlukan lebih banyak pusat intervensi awal di universiti, sekolah dan tempat kerja supaya masalah ini tak berlarutan hingga jadi krisis.

Jangan tunggu mereka menjerit minta tolong. Kita harus mula dengar, hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!