E-Mutiara galak wanita jadi pemandu bas, elak pemandu lelaki tinggal solat Jumaat

KOTA BHARU - Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) mengalu-alukan penglibatan wanita sebagai pemandu bas bagi mengelakkan pemandu lelaki meninggalkan solat Jumaat.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya memerlukan seramai 20 wanita untuk menjadi pemandu bas henti-henti dikenali sebagai Mutiara Rentas Desa yang akan diselaraskan di seluruh negara dengan nama Bas.My Kota Bharu bermula 1 Julai ini.
"Insya-ALLAH kita jangka dalam bulan Julai nanti ia akan beroperasi dengan kapasiti 78 buah bas.
"Buat masa ini kita beroperasi 27 buah sahaja dan kita akan tambah lagi 43 buah, termasuk beberapa laluan baharu yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kelantan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Mutiara di Hotel Perdana di sini pada Rabu.
Menurut beliau, ketika ini pihaknya masih memerlukan lebih ramai pemandu yang berwibawa dan berhemah bagi memandu Bas.My Kota Bharu.
Ujarnya, pemandu wanita amat diperlukan walaupun tanpa Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kerana mereka akan dilatih sehingga berjaya.
Che Ibrahim berkata, setakat ini hanya seorang pemandu wanita lulus temu duga, namun syarikat memerlukan seramai 20 orang.
"Terutamanya pada hari Jumaat, sekurang-kurangnya mereka boleh menggantikan pemandu lelaki yang menunaikan solat Jumaat.
"Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak kami. Syaratnya ialah berusia 50 tahun ke bawah, mempunyai lesen memandu serta boleh membaca dan menulis," katanya.
Beliau menambah, tiga laluan tambahan untuk bas henti-henti akan dibuka iaitu Pengkalan Kubor–Tumpat–Kota Bharu, Kota Bharu–UiTM Machang–Kota Bharu dan Kota Bharu–Meranti–Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!