Masjid Imam Shafie bakal jadi lokasi solat Jumaat

PASIR MAS - Masjid Imam Shafie yang terletak di Kampung Repek, di sini bakal menjadi lokasi untuk didirikan solat Jumaat selepas dinaik taraf.
Setiausaha Masjid Imam Shafie, Muhammad Amir Hakim Muhammad Subki berkata, masjid tersebut antara yang terbesar di daerah itu dengan keluasan 1,114.84 meter persegi.
“Bagi penduduk, masjid ini bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat pertemuan dan aktiviti keagamaan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
“Setiap kali solat berjemaah, terutama waktu Subuh dan Maghrib, ruang solat utama dan anjung penuh, menunjukkan betapa aktifnya komuniti di sini dengan masjid,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf masjid ini dianggarkan menelan belanja RM1.5 juta.
Antara yang akan dilaksanakan ialah pembinaan menara azan lengkap dengan kubah, sistem siar raya dan tangga besi.
“Bahagian dalaman masjid juga perlu proses penyempurnaan termasuk pemasangan karpet, sistem pendawaian elektrik, kemasan mihrab serta penambahbaikan tandas untuk keselesaan jemaah,” ujarnya.
Bagi yang ingin menyokong usaha ini, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03027010032451 atas nama Masjid Imam Shafie atau hubungi Muhammad Amir Hakim di talian 019-9394185.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

