'Beri subsidi kepada pemandu bas persiaran'

MOTAC bercadang untuk mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas persiaran sebelum mereka memulakan tugas. (Gambar kecil: Sin Wah)
MOTAC bercadang untuk mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas persiaran sebelum mereka memulakan tugas. (Gambar kecil: Sin Wah)
A
A
A

SHAH ALAM - Mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas persiaran disifatkan sebagai cadangan dan usaha yang baik bagi mengekang insiden kemalangan ketika memandu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia, Chong Sin Wah berkata, inisiatif itu juga dapat memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat sepenuhnya dan mampu menjalankan tugasnya dengan baik.

Bagaimanapun, beliau menyarankan kerajaan memberikan subsidi kepada pemandu bas persiaran untuk menggalakkan mereka menjalani ujian tersebut.

“Persatuan menyambut baik cadangan tersebut kerana ia merupakan langkah yang positif.

“Pada masa hadapan, kos pemeriksaan kesihatan kemungkinan meningkat jika melakukan keseluruhan pemerik-saan khususnya di klinik swasta, jadi adalah baik jika diberikan subsidi supaya tidak membebankan pemandu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang untuk mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas persiaran sebelum mereka memulakan tugas.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pemandu bas mengambil dadah ketika bertugas.

Dalam kejadian 23 Disember lalu, tujuh termasuk lima sekeluarga maut, manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka.

Mengulas lanjut mengenainya, Sin Wah berkata, pemeriksaan kesihatan merangkumi ujian saringan air kencing wajar dilakukan setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

“Saringan setahun sekali sudah mencukupi. Ia bukan sahaja penting untuk pastikan kesihatan pemandu dalam keadaan baik, malah syarikat dapat mengecualikan pemandu yang mengalami masalah di tempat kerja,” jelasnya.

Beliau berkata, buat masa ini semua pemandu bas diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun sebelum memperbaharui lesen bagi Kelas Perkhidmatan Awam (PSV).

“Kalau ada apa-apa penambahan pemeriksaan atau ujian biasanya pemandu melakukannya di klinik sahaja.

“Pemeriksaan rutin yang dilakukan pada ketika ini merangkumi pemeriksaan jantung, tekanan darah dan mata. Adalah baik untuk tambahkan kategori pemeriksaan iaitu ujian air kencing atau darah.

“Namun terdapat sebahagian pengusaha bas persiaran mewajibkan pemandu jalani ujian saringan air kencing, namun ia sebagai pilihan, bukan wajib,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!