Pengurus syarikat rugi RM2.6 juta terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Seorang pengurus syarikat rugi RM2.65 juta selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud diiklankan di media sosial. Gambar kecil: Hussein
Seorang pengurus syarikat rugi RM2.65 juta selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud diiklankan di media sosial. Gambar kecil: Hussein
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat swasta berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM2.65 juta lesap selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi media sosial.

Mangsa berusia 54 tahun itu dilaporkan terperdaya dengan satu skim pelaburan palsu selepas dijanjikan pulangan lumayan dan ditunjukkan keuntungan mencecah RM8 juta menerusi paparan dalam aplikasi pelaburan terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa mula terjerat selepas menekan pautan iklan pelaburan yang kemudiannya mengarahkannya ke aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Wendy Lim’, kononnya tenaga pengajar pelaburan, sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp untuk diberikan penerangan lanjut.

"Pelaburan itu diikuti selama dua bulan sebelum mangsa diarahkan untuk mendaftar sebagai pelabur baharu di satu lagi platform lain," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa semakin yakin selepas menerima pulangan awal sebanyak RM100,000 sebelum bertindak membuat 44 transaksi wang berjumlah RM2,652,000 ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek.

"Mangsa dimaklumkan bahawa keuntungan pelaburannya telah mencecah hampir RM8 juta berdasarkan paparan dalam sistem tersebut.

"Bagaimanapun mangsa gagal mengeluarkan wang selepas diminta membuat bayaran cukai tambahan terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian tampil membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan menerusi media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah," katanya.

Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan hanya menyertai pelaburan yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!