Taktik warga Thailand guna kenderaan tempatan seludup petrol dibongkar

Taktik licik dua lelaki warga Thailand menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan kenderaan tempatan sejak lima bulan lalu berjaya ditumpaskanKPDN Kelantan di sekitar Bukit Bunga, di Tanah Merah pada Selasa. Foto KPDN
Taktik licik dua lelaki warga Thailand menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan kenderaan tempatan sejak lima bulan lalu berjaya ditumpaskanKPDN Kelantan di sekitar Bukit Bunga, di Tanah Merah pada Selasa. Foto KPDN
A
A
A

TANAH MERAH - Taktik licik dua lelaki warga Thailand menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan kenderaan tempatan sejak lima bulan lalu berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan apabila mereka dicekup dalam satu operasi bersepadu di sekitar Bukit Bunga di sini pada Selasa.

Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari semasa Ops Tiris yang dijalankan KPDN bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan ketika cuba melepasi kawalan dan pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga menuju ke Thailand menggunakan kenderaan tempatan yang telah diubah suai pada bahagian tangki minyak.

"Penahanan suspek itu dibuat susulan pemantauan dan telah mendapati terdapat kegiatan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar kawasan terbabit.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua kenderaan terbabit turut membawa kepada penemuan sejumlah 245 liter petrol sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM10,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sementara itu, siasatan awal turut mendapati suspek telah membeli kenderaan terbabit tanpa menukar nama pemilik asal sebagai helah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa serta memudahkan kegiatan penyelewengan.

Ujarnya, bagaimanapun, kedua-dua suspek mengaku telah terlibat dalam kegiatan ini sejak hampir lima bulan lalu.

Azman memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki dan berurusan dengan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!