Aktiviti pelancongan Terengganu perlu selari syariah - ADUN Jertih

Riduan
Riduan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri disarankan supaya lebih berhati-hati dalam merangka program pelancongan terutama sepanjang bulan Ramadan agar selari dengan identiti Terengganu yang mengangkat perjuangan para ulama terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, terdapat aktiviti yang diadakan tidak mengikut garis panduan ditetapkan pada Ramadan lalu.

"Baru-baru ini, program Pelita Raya mencetuskan kecaman kerana menampilkan kandungan yang tidak selari dengan semangat Ramadan. Saya harap kerajaan lebih berhati-hati dalam merangka aktiviti pada masa akan datang.

"Jawatankuasa pemantau perlu diwujudkan bagi memastikan setiap program pelancongan yang dianjurkan mematuhi syariah dan tidak mengorbankan akhlak remaja kita," katanya ketika sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu kekurangan jemaah di masjid-masjid luar bandar seperti di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu apabila Ramadan memasuki fasa akhir.

"Kita bandingkan suasana masjid di Terengganu dengan negeri lain, saf makin berkurang pada akhir Ramadan. Sedangkan bulan ini adalah bulan keampunan dan bulan al-Quran.

"Saya cadangkan pemimpin negeri tampil menjadi contoh dengan membaca al-Quran secara terbuka, supaya rakyat terdorong menghidupkan budaya ilmu," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan besar 40-0 yang diberikan rakyat kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum lalu merupakan manifestasi jelas kecintaan rakyat kepada agama.

"Rakyat Terengganu beri sokongan besar dalam PRU lepas, tanda manifestasi cinta mereka terhadap agama.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu penting untuk pastikan pelancongan kita patuh syariah, supaya hasil negeri datang daripada sumber yang diberkati ALLAH SWT," katanya.

Dalam ucapannya, Dr Riduan turut memuji penganjuran program Madinah Ramadan yang menurutnya mempunyai potensi besar menjadi tarikan pelancongan berasaskan ilmu di Terengganu.

Beliau turut mencadangkan agar negeri itu mengangkat bulan Ramadan sebagai platform memperingati peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam.

"Kalau program ini diperluaskan dengan pengisian seperti daurah kitab, kuliah ilmu dan kehadiran imam luar negara, saya percaya Terengganu mampu bersaing dengan Kelantan dalam menarik pelancong Muslim sepanjang Ramadan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!