Pak Lah tidak pernah putus asa demi rakyat

SHAH ALAM - Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah merupakan seorang Perdana Menteri yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan sanggup melakukan apa sahaja demi rakyat.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, Pak Lah bukanlah seorang pemimpin yang suka menonjolkan diri namun beliau arif akan batas dan keupayaannya.
Johan berkata, Pak Lah sedar dirinya tidak sempurna namun tetap memimpin negara dengan segala kekuatan dan kelemahan yang ada, terutama ketika berdepan saat-saat mencabar.

"Beliau seorang yang sederhana tetapi mempunyai idea yang besar.
"Walaupun berdepan pelbagai dugaan beliau tidak pernah berundur, sebaliknya terus melaksanakan dasar yang mesra rakyat.
"Beliau mengalihkan fokus pembangunan ke kawasan yang kurang mendapat perhatian, jauh dari tumpuan bandar-bandar besar dan kawasan yang telah sedia makmur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bekas Perdana Menteri kelima itu disahkan meninggal dunia di usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau.
Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dimaklumkan sudah dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah sakit tua dihadapinya sebelum ini.

Mengulas lanjut, Johan berkata, Pak Lah turut melalui detik-detik gemilang seperti semasa Pilihan Raya Umum 2004 (PRU-11) dan saat sukar pada PRU-12 pada tahun 2008.
Namun, Johan berkata, Abdullah tidak pernah berhenti berusaha demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.
Ujarnya, Abdullah memanfaatkan segala kekuatan yang ada, tidak pernah berselindung dalam kata-kata dan sentiasa bersuara dari hati.
"Tun Abdullah juga adalah seorang reformis sejati. Beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM), memperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melaksanakan pelbagai reformasi institusi yang signifikan.
"Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan beliau bukan sekadar slogan, namun ia lahir daripada kefahaman mendalamnya tentang Islam progresif dan peranannya dalam membentuk Malaysia moden," katanya.
Katanya, Pak Lah mengimpikan sebuah Malaysia untuk semua tanpa mengira bangsa atau agama.
Baginya, negara ini perlu dibina atas asas akhlak yang mulia, integriti dan nilai moral yang tinggi.
"Prinsip beliau jelas anda bukan bekerja untuknya tetapi bekerja bersamanya.
"Prinsip inilah yang mendasari falsafah kepimpinan beliau, etika kerja dan keyakinan beliau terhadap semangat kebersamaan sebagai sebuah bangsa.
"Dalam waktu senang mahupun sukar, beliau lebih bersifat sebagai seorang bapa yang membawa kewarasan, ketenangan dan kebijaksanaan dalam memimpin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
