Rakyat Sabah perlu realiti, bukan retorik - Bung Moktar

Hajiji (kanan) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
Hajiji (kanan) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
A
A
A
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah diminta membuat kajian menyeluruh terhadap syarikat yang gagal mengendalikan projek, agar tidak terus dipertahankan sebaliknya ditamatkan demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) mempersoalkan tindakan kerajaan mengekalkan penglibatan syarikat yang gagal melaksanakan projek Empangan Tenom sejak 2015.

Menurut beliau, kerajaan perlu menjelaskan naratif di sebalik keputusan mengekalkan syarikat sedemikian dan dalam masa sama memastikan hanya syarikat berkualiti dilibatkan dalam pembangunan negeri.

"Boleh bayangkan 2015 dianugerahkan sehingga 2025 masih dalam proses untuk persediaan macam-macam. Tapi Ketua Menteri menafikan, ini satu kegagalan. Sebetulnya ini kegagalan perlu diterima oleh kita semua dan perlu ada jalan penyelesaian.

"Kalau ikut istilah perniagaan, pengambilalihan ekuiti ini adalah menjual saham. Kenapa perlu dikekalkan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd? 10 tahun dia gagal pun kita masih (kekalkan), kenapa tidak diberikan terus kepada Sabah Energy Corporation, tidak perlu dia ada pegang ekuiti, kan kita akan untung.

"Jadi cuba buat kajian, jangan kita dimalukan oleh pihak-pihak tertentu. Sebab ini semua perlu dibuat kajian, mana-mana yang tidak relevan, kita tidak perlu lagi pertahankan, integriti mesti telus dalam mentadbir urus kerajaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semasa sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.

Tambah beliau lagi, kerajaan harus memberi penjelasan yang menyeluruh dan bukannya bersifat retorik terhadap masalah tersebut.

"Rakyat Sabah memerlukan realiti, bukan retorik, jadi ini yang saya minta supaya kerajaan memperjelaskan secara tuntas, apa naratif dalam perniagaan ini masih mengekalkan syarikat yang tidak berkualiti.
Artikel Berkaitan:


"Apakah kerajaan akan menentukan masa depan negeri Sabah ini berlandaskan ketelusan, di mana pada amalan kebiasaannya, syarikat kontraktor pembinaan yang gagal akan ditamatkan dan dikenakan pembayaran perbelanjaan kontrak, tetapi ini bukan lagi ditamatkan, diteruskan pula," katanya.

Menjawab persoalan itu, Hajiji menjelaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek, walaupun syarikat tersebut telah dianugerahkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Banyak kerja yang perlu dilaksanakan, tambahan lagi, pada 2018 hingga 2020 kita mengalami pandemik Covid-19, jadi ini juga melambatkan pelaksanaan di lapangan.

"Keduanya, kenapa kita tidak batalkan saja, ini soal urusan perniagaan antara Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd dengan Gamuda Berhad. Kita tidak boleh campur tangan, kerana pegangan yang dipegang oleh Kerjaya Kagum ialah 60 peratus dan dia telah serahkan kepada Gamuda Berhad 45 peratus, tinggal hanya 15 peratus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!