Sajak patriotik Tun M gamit emosi, warnai pembukaan kapsul masa

Dr Mahathir membaca sajak bertema patriotik yang ditanam dalam kapsul masa di Menara KL.
Dr Mahathir membaca sajak bertema patriotik yang ditanam dalam kapsul masa di Menara KL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 'Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.'

Itu antara bait terakhir sajak bertema patriotik nukilan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh hati hadirin dalam majlis pembukaan kapsul masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur pada Ahad.

Sajak yang dibacakan sendiri oleh Dr Mahathir mengangkat semangat perjuangan bangsa, cabaran pasca kemerdekaan dan pentingnya jati diri demi mengisi kemerdekaan yang telah dicapai.

“Tiada ertinya sejarah silam jika bangsa tercinta dipinggir dan dilupakan. Tugas kita bukan kecil kerana mengisi kemerdekaan, rupanya lebih besar dan lebih sukar dari menuntutnya,” katanya penuh emosi.

Beliau turut menyentuh sejarah kegemilangan bangsa Melayu yang pernah menjelajah dunia, menjadi pedagang, ilmuwan dan pejuang serantau yang disegani.

“Bukankah bangsa ku pernah mengharungi samudera, menjadi wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian? Tapi hari ini kita sendiri merasa begitu kecil dan rendah diri. Di mana silapnya?” soalnya.

Sajak berdurasi hampir kira-kira enam minit itu menjadi antara kandungan kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam sejak 1 Oktober 1996 dan dibuka hari ini selepas lebih 28 tahun.

Dalam keadaan tangan berbalut akibat kecederaan, Dr Mahathir tetap hadir membuka kapsul bersejarah itu yang mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Antara kandungan yang dikeluarkan termasuk gambar pembinaan Menara Kuala Lumpur, wang kertas RM2, poster, keratan iklan, filem gambar, cakera padat video (VCD), kenyataan media serta sajak yang dibacakan beliau.

Artikel Berkaitan:

Kapsul itu sepatutnya dibuka pada tahun 2020 namun tertangguh akibat beberapa faktor termasuk pandemik Covid-19.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; bekas Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh.

Menurut Dr Mahathir, sajak dan kandungan kapsul itu menggamit memori beliau ketika mula membina visi negara hampir tiga dekad lalu.

“Saya tak menyangka masih dapat lihat barang-barang dalam kapsul ini. Saya fikir masa itu saya sudah tiada lagi. Ini satu perkara yang saya syukuri teramat sangat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!