PM, Jemaah Menteri dijemput hadir Majlis Pembukaan Kapsul Masa 2020 di Menara KL

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh anggota Kabinet Kerajaan Madani dijemput menghadiri Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 dan Majlis Raikan Raya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Menara Kuala Lumpur (Menara KL), pada Ahad ini.
Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, jemputan berkenaan turut dipanjangkan kepada semua warga kementerian, agensi kerajaan serta kedutaan asing di Malaysia.
Abdul Hamid berkata, MKLSB turut menjemput dewan perniagaan yang mewakili pelbagai kaum serta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Majlis Ahad ini dijangka dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menyaksikan detik bersejarah yang telah dinanti hampir tiga dekad.
"Seluruh warga kerja MKLSB, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, turut menzahirkan rasa teruja untuk mengetahui kandungan Kapsul Masa Wawasan 2020 yang bakal dibuka pada majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, daripada lima kapsul masa yang telah ditanam, hanya satu kapsul akan dibuka pada tahun ini.
"Pembukaan ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan sejak penanaman kapsul tersebut, meskipun negara telah melalui beberapa pentadbiran Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.
"Malah, semasa Dr Mahathir menjawat jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, kapsul ini tidak sempat dibuka," katanya.
Justeru itu, MKLSB ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam meraikan hari yang penuh bersejarah ini.
"Pada hari tersebut, semua fasiliti di Menara Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa dan terbuka kepada semua pelawat sama ada pengunjung tempatan mahu pun luar negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
