Tun M sebak buka kapsul masa Wawasan 2020 selepas 28 tahun

Dr Mahathir membuka kapsul masa yang ditanamnya kira-kira tiga dekad lalu di Menara Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Dr Mahathir membuka kapsul masa yang ditanamnya kira-kira tiga dekad lalu di Menara Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa sebak dan syukur apabila berpeluang membuka sendiri kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanamnya lebih 28 tahun lalu dalam satu majlis khas di Menara Kuala Lumpur, pada Ahad.

Kapsul yang ditanam pada 1 Oktober 1996 itu mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi dan harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020.

“Saya tak menyangka masih boleh lihat barang-barang ini. Saya fikir masa itu saya dah tak ada. Tapi alhamdulillah, saya masih diberi peluang buka, baca dan tengok isi kandungan kapsul ini sendiri. Ini satu perkara yang saya amat syukuri,” katanya dalam sidang media, Ahad.

Kapsul yang ditanam pada 1 Oktober 1996 mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi dan harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti dalam gagasan Wawasan 2020. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Menurutnya, ketika kapsul itu ditanam, beliau langsung tidak menjangka akan hidup cukup lama untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.

“Ketika saya tanam kapsul ini, saya tak harap langsung hendak bukanya. Pada 2020, umur saya sudah lanjut. Saya fikir saya tidak sempat melihatnya. Tapi sekarang, walaupun lambat dibuka, saya masih diberi kesempatan,” katanya dalam nada sebak.

Dr Mahathir menunjukkan barangan yang terkandung dalam kapsul masa yang ditanamnya di Menara Kuala Lumpur kira-kira tiga dekad lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Dr Mahathir menunjukkan barangan yang terkandung dalam kapsul masa yang ditanamnya di Menara Kuala Lumpur kira-kira tiga dekad lalu. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Majlis pembukaan kapsul itu diadakan sempena program ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), menyaksikan pelbagai barangan kenangan dikeluarkan termasuk kad pengenalan, gambar, telefon, kenyataan media serta sajak yang dikarang sendiri oleh Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memuji pengurusan Menara Kuala Lumpur yang ditadbir dengan baik dan terus menjadi simbol pencapaian negara sejak pembinaannya.

Antara barangan yang terkandung dalam kapsul masa Wawasan 2020. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Antara barangan yang terkandung dalam kapsul masa Wawasan 2020. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

“Saya harap menara ini terus menjadi simbol tahap kemajuan negara. Masa menara ini didirikan, belum ada bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur. Tapi sekarang, Kuala Lumpur sudah seperti New York, penuh bangunan tinggi.

“Insya-ALLAH, saya harap Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat metropolitan yang menjadi lokasi aktiviti ekonomi, politik dan sosial serta menyumbang kepada dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!