Dua permit ceramah BN lulus, PN, PSM belum mohon

Zaharudin ketika sidang media di Dewan Sri Tapah IPD pada Ahad.
Zaharudin ketika sidang media di Dewan Sri Tapah IPD pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Sebanyak dua permit ceramah bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diluluskan polis Perak selepas proses penamaan calon pada Sabtu.

Jurucakap Polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zaharudin Rasip berkata, dua permit ceramah itu diluluskan kepada Barisan Nasional (BN), manakala Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih belum memohon.

"Malam tadi ada dua ceramah oleh parti BN di sekitar Tapah dan kita juga nak maklumkan setakat ini tiada sebarang permohonan permit yang ditolak oleh polis.

"Kita juga sarankan kepada semua parti bertanding untuk memohon permit lebih awal bagi memudahkan kelulusan.

"Kalau diikutkan ada lima kempen harian setakat semalam, dua oleh BN, satu PN dan dua lagi PSM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Dewan Sri Tapah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pada Ahad.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PN dan PSM.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Artikel Berkaitan:

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

Dalam pada itu, Zaharudin memaklumkan, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan polis atau aduan salah laku pilihan raya setakat ini.

Tambahnya, polis sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang dua minggu PRK berlangsung.

Beliau turut memberitahu, Polis Perak akan terus memantau aktiviti provokasi dan komen berbaur hasutan di media sosial di samping menjalankan risikan, pemantauan serta tindakan terhadap pihak yang cuba membuat kekacauan sepanjang proses pilihan raya.

"Kita nasihatkan penyokong ketiga-tiga parti dan masyarakat supaya tidak mempercayai sumber tak sahih dan sentiasa rujuk pihak polis terlebih dahulu.

"Pihak polis sentiasa menempatkan anggotanya untuk memantau ceramah dan kempen juga kami dapati tiada pihak yang main isu 3R (kaum, agama dan raja) sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala pengundian awal dijadualkan pada 22 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

DUN tersebut mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!