Calon UMNO sudah ada 18,000 undi - Annuar sindir unjuran MB Perak

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyindir kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyasarkan calon Barisan Nasional (BN) memperoleh lebih 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, Annuar berkata, sekiranya unjuran itu benar, jentera BN tidak perlu lagi bekerja keras kerana kemenangan sudah hampir terjamin.
“Itu laporan yang kita baca. Jentera BN tentunya lega dan sudah boleh ‘relax’. 18,000 undi adalah peningkatan 100 peratus berbanding jumlah undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” katanya.
Menurut beliau, Saarani bukan sahaja Menteri Besar Perak, malah digelar pakar dalam pengurusan data dan bilik gerakan UMNO.
Justeru, Annuar menyifatkan unjuran tersebut pasti berdasarkan analisis yang kukuh, meskipun UMNO Perak hanya memenangi lapan kerusi DUN termasuk Ayer Kuning pada PRU lepas – satu keputusan terburuk dalam sejarah UMNO negeri itu.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sekiranya kadar keluar mengundi mencecah 65 peratus, kira-kira 22,000 pengundi dijangka keluar menunaikan tanggungjawab.
“Jika benar UMNO sudah memperoleh 18,000 undi, maka Pas dijangka tidak memperoleh lebih daripada 4,000 undi. Ini bermakna BN akan menang dengan majoriti lebih 14,000 undi.
“Demikianlah kuatnya BN Perak pimpinan Saarani. Pasukan kempen Perikatan Nasional (PN) sudah tentu akan berusaha lebih gigih untuk meraih undi,” katanya secara sinis.
Terdahulu, Saarani dalam satu majlis pelancaran jentera PRK DUN Ayer Kuning menyatakan keyakinan bahawa BN boleh memperoleh lebih 18,000 undi berdasarkan jumlah undi yang diterima oleh calon BN dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu yang melebihi 15,000 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
