Kerani rugi RM20,800 terpedaya pinjaman tidak wujud

Seorang kerani kerugian RM20,800 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang kerani kerugian RM20,800 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

TANGKAK - Seorang kerani kerugian sebanyak RM20,800 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud yang ditawarkan melalui internet.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, wanita berusia 39 tahun itu pada awalnya membuat carian di Google berkenaan pinjaman peribadi dan tertarik dengan satu tawaran yang menjanjikan kadar faedah lebih rendah.

“Mangsa telah membuat tujuh transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza untuk mendapatkan pinjaman itu bagi pihak sepupunya.

“Mangsa mempercayai pinjaman itu sah selepas menerima surat perjanjian pinjaman yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Roslan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman segera yang menjanjikan faedah rendah.

“Lakukan semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang awam agar mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan atau ‘scam’ menerusi laman media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Jika sudah menjadi mangsa, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk menyekat aliran keluar wang daripada akaun suspek,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!