Ramli dilantik Ketua Polis Daerah Klang Selatan baharu

KLANG - Bekas Penolong Pengarah Pendataan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Kasa, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan yang baharu pada Selasa.
Beliau menggantikan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Dewan Serbaguna Balai Polis Pandamaran itu disaksikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Hussein berkata, peranan baharu Hoong Fong adalah satu pengiktirafan terhadap kredibiliti dan kepakaran beliau.
"Saya percaya Hoong Fong akan terus memberi sumbangan yang signifikan dalam perkhidmatan beliau dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," ujarnya.
Hussein turut menambah, antara kejayaan yang dicapai oleh Hoong Fong adalah penubuhan Unit Dron menggunakan model Matrice 30 Thermal bernilai RM450,000.
"Ia adalah hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti untuk tujuan tinjauan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan," katanya.
Hussein mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ramli atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan.
"Semoga dengan pengalaman dan dedikasi yang Ramli miliki, beliau dapat terus memacu kejayaan bersama pasukan IPD Klang Selatan.
"Saya berharap agar amanah yang dipikul ini dilaksanakan dengan penuh integriti," katanya.
Sementara itu, Hoong Fong dalam ucapannya menyatakan bahawa pengalaman bertugas di daerah besar telah membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin yang sabar dan positif.
"Saya amat menghargai pengetahuan dan pengalaman bernilai yang diperoleh sepanjang bertugas di sini.
"Sudah pasti pengalaman dan pengetahuan ini akan menjadi bekalan ilmu untuk perjalanan masa hadapan kerjaya saya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Beliau menegaskan bahawa penghijrahan dan pertukaran jawatan dalam tugas adalah fitrah perjalanan perkhidmatan.
"Selain menstrukturkan semula kepimpinan dan organisasi, saya yakin perancangan ini bertujuan untuk memberikan nafas baharu bagi menggerakkan seluruh jentera pasukan PDRM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
