Sewa rumah naik, penduduk Putra Heights tetap pilih lokasi sama

SUBANG JAYA - Harga sewa rumah di sekitar kawasan Putra Heights dan kampung terdekat melonjak naik namun penduduk yang telah lama menetap di sini tetap memilih untuk kekal berada di lokasi sama.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, penduduk menyatakan harga sewa rumah sudah meningkat dan ada yang lebih dari RM2,000 sebulan.
Seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Nur Syahida Nabila Mohamad Johar, 36, berkata, keputusan untuk kekal di kawasan perumahan lama dibuat bagi memudahkan mereka memantau keadaan rumah sebelum ini yang terjejas dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu.
Katanya, dia sudah mencari rumah sewa di sekitar kawasan Putra Heights dan harga sewa yang diberikan agak mahal iaitu RM2,400 sebulan bagi rumah teres dua tingkat.
"Pada masa ini, saya masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.
"Ini kerana rumah yang mahu disewa tersebut sedang diselenggara oleh pemilik rumah," katanya pada Sabtu.
Menurutnya, adik-beradiknya yang turut terjejas dalam kejadian itu juga memilih untuk mendapatkan rumah sewa di sekitar Putra Heights.
Diikutkan dari segi kos, katanya, harga sewa yang diberikan adalah mahal, tetapi ia masih lagi berbaloi berbanding untuk berulang-alik dari lokasi lain untuk meninjau keadaan semasa rumah.
"Sejujurnya saya mahu masuk ke rumah sewa secepat mungkin memandangkan sudah agak lama kami tinggal di PPS.
"Biarpun kemudahan disediakan mencukupi, namun pastinya lebih selesa tinggal di rumah sendiri," ujarnya ikhlas.
Nur Syahida berkata, masih ramai penduduk yang terjejas akibat kebakaran berada di PPS, berikutan kejadian banjir kilat melanda di kawasan berkenaan pada Jumaat.
Menurutnya, beberapa hari lalu jumlah mangsa di PPS tidak begitu ramai tetapi ada keluarga yang masuk semula ke PPS kerana rumah mereka dilanda banjir.
"Setakat ini, PPS beroperasi seperti biasa dan belum lagi ditutup," ujarnya.
Nur Syahida turut menyertai Program Ops Mega Pembersihan selama dua hari yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bermula Sabtu.
Seramai 2,095 orang sukarelawan melibatkan lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam Program Ops Mega Pembersihan.
Sebanyak 114 jentera digunakan dalam gotong royong pembersihan itu seperti lori water jetter, lori tangki air, lori Roll-On Roll-Off (RORO), jentera pengorek, kenderaan pelbagai guna serta lori yang membawa kemudahan peralatan pembersihan ke lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
