Polis KL timba pengalaman urus tragedi letupan gas di Putra Heights

Rusdi (tengah) hadir meninjau lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.
Rusdi (tengah) hadir meninjau lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lawatan kerja kepimpinan tertinggi Polis Kontinjen Kuala Lumpur ke lokasi tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, bertujuan mendapatkan pengalaman secara langsung mengenai situasi sebenar dan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya untuk mempelajari pendekatan dan tindakan sewajarnya daripada Polis Kontinjen Selangor dalam menangani insiden berprofil tinggi seperti itu.

Menurutnya, taklimat telah disampaikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang juga Komander Operasi, serta Ketua Polis Daerah Subang Jaya.

Rusdi (tengah) diiring pegawai kanan Polis Kontinjen Selangor meninjau lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.
Rusdi (tengah) diiring pegawai kanan Polis Kontinjen Selangor meninjau lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.

“Melalui taklimat itu, barulah kami (Polis KL) memahami mengapa siasatan di lokasi kejadian memakan masa.

“Banyak pendedahan dan pengalaman kami peroleh, khususnya berhubung keperluan dua pasukan berasingan iaitu Pasukan Siasatan dan Pasukan Teknikal dalam menguruskan tragedi seperti ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.

Tambah Rusdi, lawatan berkenaan memberi nilai tambah kepada pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur dalam memahami pelaksanaan tindakan segera mengikut SOP, sekiranya berlaku insiden serupa di ibu negara.

“Kuala Lumpur juga tidak terlepas daripada pelbagai kejadian seperti tanah mendap dan bencana lain.

“Panduan yang diperoleh menerusi lawatan ini amat berguna, bukan sahaja dari segi teori di bilik taklimat, tetapi juga secara praktikal di lokasi kejadian atau ground zero,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!