100 tan sampah dibersihkan dalam insiden letupan gas

Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah seperti bandar mati dalam kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. Foto: Bernama
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah seperti bandar mati dalam kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Kira-kira 100 tan sisa sampah berjaya dibersihkan di sekitar Taman Putra Harmoni sejak insiden letupan paip gas di Putra Heights pada minggu lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka itu dijangka meningkat dengan ketara apabila operasi pembersihan diteruskan ke kawasan sekitar termasuk Kampung Kuala Sungai Baru.

Menurut beliau, pembersihan akan disambung secara besar-besaran pada hujung minggu ini melalui satu operasi mega oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Operasi pembersihan mega ini melibatkan seramai 1,000 sukarelawan dan kakitangan pelbagai agensi," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pendidikan di Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, seluruh jentera juga akan ditumpukan kepada kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas.

“Operasi akan menyasarkan pembersihan menyeluruh melibatkan jalan-jalan utama, kawasan luar rumah dan kampung terlibat yang sudah dibenarkan akses secara terkawal,” katanya.

Amirudin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pendidikan di Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Jumaat.
Amirudin (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pendidikan di Dewan Masjid Putra Heights di sini pada Jumaat.

Amirudin turut memaklumkan bantuan logistik dan fasiliti bagi operasi itu disediakan menerusi kerjasama rapat daripada pelbagai agensi.

Katanya, antara yang terlibat selain daripada MBSJ, termasuklah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu pastikan segala serpihan, sisa kayu, kaca, dan bahan berbahaya dapat dikutip dan dilupuskan mengikut piawaian keselamatan,” jelasnya.

Beliau turut menggesa penduduk yang pulang ke kediaman masing-masing memberikan kerjasama kepada pasukan pembersihan serta tidak menghalang laluan jentera atau aktiviti pembersihan yang sedang dijalankan.

"Kerajaan Selangor telah beralih ke fasa pemulihan dengan fokus terhadap kerja baik pulih, kebersihan dan bantuan pemulihan kepada penduduk terjejas," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!